Oct 31, 2009

Kursus Jurulatih Antarabangsa Rantau Asia Pasifik


Kuala Lumpur, 19hb Oktober 2009. Seramai 40 orang peserta dari 12 Organisasi Pengakap Negara-Negara Rantau Asia Pasifik berkumpul untuk mengikuti kursus kejurulatihan peringkat Asia Pasifik yang merupakan acara iringan bagi Persidangan Pengakap Rantau Asia pasifik ke 23.

Kursus Jurulatih Antarabangsa tersebut telah dibuka dengan rasminya oleh Pesuruhjaya Latihan Negara Malaysia, Tuan Haji Abdul Shukor bin Mohsin dan dikendalikan oleh Jurulatih dari Negara Malaysia, Australia, Japan, UK, Canada, dan pejabat Rantau Asia Pasifik.

Para peserta akan berkampung di Pusat Belia Antarabangsa selama 7 hari untuk bersama-sama berkongsi pengalaman dan pengamalan demi membangunkan dan memperkasakan pergerakan pengakap di Rantau Asia Pasifik.

Dua orang wakil dari Johor ialah En Mohd Khir bin Muda (ASC Pembangunan/Penyelia Kem Tanjung Labuh) dan En. Azhar bin Noor Rahman (DC Pontian).

Tahniah diucapkan dan selamat berkhidmat.


Forum Belia Pengakap Rantau Asia Pasifik

Forum Belia Pengakap Rantau Asia PasifikKuala Lumpur, 22hb. Oktober, 2009. Forum Belia Pengakap Rantau Asia Pasifik telah dibuka secara rasminya oleh Ketua Pengakap Malaysia, Y. Bhg. Dato’ Seri Dr. Hj. Shafie bin Hj. Mohd Salleh.Para peserta yang terdiri daripada Belia Pengakap dari segenap ceruk Rantau Asia Pasifik berkumpul berbincang bersama untuk mengeratkan perhubungan dan membina kekuatan untuk kemajuan pergerakan Belia Pengakap serantau. Turut serta En Mohd Azlan Jalil - Pesuruhjaya Daerah Johor Bahru dan Mohd Hafiz Ariffin - Penolong Pesuruhjaya Daerah Johor Bahru.

Oct 16, 2009

Perpustakaan dan Galeri Pengakap Negeri Johor

Lokasi : Perpustakaan dan Galeri, Kem Pengakap Jubli Intan, Tajung Labuh, Batu Pahat
(Dahulu dikenali sebagai Dewan Syed Esa)

PPNJ Pusat Sumber : Tn Hj Mohd Noh bin Hj Hamim

Pusat rujukan pengakap, selatan tanahair.
Koleksi : Buku, gejet, gambar, bahan projek Ujian Pengakap Raja, dll.










Jasa Allahyarham Tun Sardon Kepada Pergerakan Pengakap Akan Dikenang


KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Jasa Allahyarham Tun Sardon Jubir kepada Pergerakan Pengakap dalam negara ini akan dikenang apabila Malaysia menjadi tuan rumah Persidangan Pengakap Rantau Asia Pasifik ke-23 dari 27 Okt hingga 1 Nov depan, kata seorang pegawai Persekutuan Pengakap Malaysia.

Sardon, yang merupakan Ketua Pengakap Negara dari tahun 1963 hingga 1973, telah banyak memberi sumbangan kepada Pergerakan Pengakap tempatan, terutamanya dalam mewujudkan Akta Persekutuan Budak-Budak Pengakap Tanah Melayu (Akta Parlimen No 38 Tahun 1968), kata Sahrizal Sunari, Setiausaha Unit Persaudaraan B-P & Veteran, persekutuan tersebut

Dalam satu kenyataan , Jumaat Sahrizal berkata banyak pembangunan pengakap di Malaysia telah dilaksanakan oleh Sardon semasa beliau menerajui Persekutuan Pengakap Malaysia.

Antara yang menjadi kebanggaan adalah penganjuran Persidangan Pengakap Timur Jauh ke-4 pada tahun 1964, di mana Malaysia julung kali menjadi tuan rumah kepada persidangan Pengakap serantau, dan Jambori Pengakap Malaysia pertama pada 1966.

Sahrizal berkata bakti Sardon dalam pergerakan pengakap telah membolehkan tokoh tersebut menerima beberapa anugerah pengakap di dalam dan luar negara, antaranya "Pingat Emas" dari Pengakap Korea Selatan dan "Pingat Emas Raja" dari Pengakap Thailand.Sebagai mengenang jasa beliau juga, kem pengakap di Balakong, Selangor dinamakan Kem Pengakap Sardon Jubir.

Pada masa ini terdapat 24 buah negara menjadi ahli rasmi pergerakan pengakap Rantau Asia Pasifik. Mereka terdiri daripada Australia, Bangladesh, Bhutan, Brunei, Kemboja, Taiwan, Fiji, Hong Kong, India, Malaysia, Indonesia, Jepun, Kiribati, Korea Selatan, Maldives, Mongolia, Nepal, New Zealand, Pakistan, Papua New Guinea, Filipina, Singapura, Sri Lanka dan Thailand.

Sardon, yang dilahirkan pada 19 Mac, 1917 di Sungai Kluang, Rengit, Batu Pahat, telah memegang beberapa jawatan Kabinet dari tahun 1957 hingga 1973 sebagai Menteri Kerja Raya, Telekom & Pos, Menteri Pengangkutan dan Menteri Kesihatan.

Pada tahun 1974, beliau telah dilantik sebagai Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York dan kemudiannya dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dari tahun 1975 hingga 1981.-- BERNAMA