Jun 21, 2025

KUNJUNG HORMAT PENGAKAP NEGERI JOHOR KE PEJABAT DAERAH MERSING PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK MENJELANG PAPJ 2025

KUNJUNG HORMAT PENGAKAP NEGERI JOHOR KE PEJABAT DAERAH MERSING PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK MENJELANG PAPJ 2025



MERSING, 17 Jun 2025 – Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Johor (PPMNJ) yang baharu, Mejar A.W. Haji Mohd Khir bin Muda, telah mengadakan sesi kunjung hormat dan perbincangan strategik bersama pihak Pejabat Daerah Mersing sebagai sebahagian daripada usaha persiapan awal menjelang Program Perhimpunan Agung Pengakap Johor (PAPJ) Ke-27 yang dijadualkan berlangsung tidak lama lagi.
Turut mengiringi beliau dalam sesi tersebut ialah Tuan Saberi bin Rajab, Pesuruhjaya Pengakap Daerah Mersing; Tuan Haji Rahmad bin Abd Rahman, Pesuruhjaya Pengakap Daerah Batu Pahat; serta jurugambar rasmi, Encik Izzat Haziq bin Rahmad.
Delegasi Pengakap Negeri Johor telah disambut oleh YBhg. Tuan Haji Jamil Hasni bin Abdullah, Pegawai Daerah Mersing. Dalam pertemuan yang berlangsung, kedua-dua pihak telah membincangkan secara terperinci berkenaan persediaan logistik dan teknikal, termasuk pemilihan tapak perkhemahan, keperluan kemudahan asas serta kerja-kerja pembersihan tapak oleh pihak Johor Corporation (JCorp) sebagai persediaan awal sebelum program berlangsung.
Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Johor turut berkongsi hala tuju baharu Pengakap Johor, yang memberi penekanan kepada penganjuran aktiviti dan program berskala besar di pelbagai peringkat, termasuk program luar yang memberi impak positif terhadap pembangunan belia, meskipun tidak tergolong dalam aktiviti rasmi kepengakapan.
Beliau turut menyuarakan komitmen Pengakap Johor untuk menjalin kerjasama erat dengan Pejabat Daerah Mersing bagi memastikan kelancaran PAPJ 27 dan menjayakan penganjurannya dengan cemerlang serta berimpak tinggi.
Dalam pertemuan tersebut juga, Ketua Pesuruhjaya menzahirkan hasrat untuk memperkukuh hubungan diplomasi dan jaringan strategik antara jabatan-jabatan kerajaan. Usaha ini dilihat penting dalam memastikan kemenjadian ahli pengakap terus diiktiraf, melalui pelaksanaan aktiviti-aktiviti kepengakapan yang aktif, tersusun dan berterusan di peringkat daerah, negeri, mahupun kebangsaan.
Persekutuan Pengakap Negeri Johor amat menghargai keterbukaan dan sokongan yang diberikan oleh Pejabat Daerah Mersing, dan optimis terhadap potensi kerjasama jangka panjang dalam usaha memperkasakan pembangunan belia Johor melalui wadah kepengakapan.

No comments:

Post a Comment