PENGAKAP NEGERI JOHOR ADAKAN KUNJUNG HORMAT KE PEJABAT TANAH DAERAH MERSING BAGI PERBINCANGAN STRATEGIK PAPJ 2025
MERSING, 17 Jun 2025 – Persekutuan Pengakap Negeri Johor telah mengadakan sesi kunjung hormat ke Pejabat Tanah Daerah Mersing sebagai sebahagian daripada siri lawatan rasmi menjelang penganjuran Program Perhimpunan Agung Pengakap Johor (PAPJ) Ke-27.
Delegasi Pengakap Negeri Johor diketuai oleh Ketua Pesuruhjaya, Mejar A.W. Haji Mohd Khir bin Muda, dan disertai oleh Tuan Saberi bin Rajab, Pesuruhjaya Pengakap Daerah Mersing; Tuan Haji Rahmad bin Abd Rahman, Pesuruhjaya Pengakap Daerah Batu Pahat; serta jurugambar rasmi, Encik Izzat Haziq bin Rahmad.
Kehadiran rombongan telah disambut mesra oleh Tuan Haji Abdul Hakim bin Abd Manap, Pentadbir Tanah Daerah Mersing, yang turut mengalu-alukan kunjungan rasmi delegasi pentadbiran tertinggi Pengakap Johor ke pejabat beliau.
Pertemuan ini memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk membincangkan pelbagai aspek berkaitan pelaksanaan PAPJ 2025, khususnya berkenaan tarikh pelaksanaan, keperluan logistik dan kerja-kerja pembersihan tapak perkhemahan yang akan dijalankan sebagai persediaan menjelang program utama tersebut.
Dalam sesi perbincangan tersebut, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Johor turut memperincikan hala tuju baharu gerakan Pengakap Johor yang memberi penekanan kepada usaha memperluas keterlibatan belia melalui aktiviti berskala besar dan program rentas bidang, termasuk penganjuran program bukan berteraskan pengakap secara langsung, namun berimpak tinggi kepada pembangunan sahsiah dan kepimpinan golongan muda.
Persekutuan Pengakap Negeri Johor amat menghargai keterbukaan dan sokongan yang ditunjukkan oleh pihak Pejabat Tanah Daerah Mersing dan berharap kerjasama strategik ini dapat menyumbang secara langsung kepada kelancaran serta kejayaan pelaksanaan PAPJ Ke-27.
No comments:
Post a Comment