Jun 21, 2025

KUNJUNG HORMAT PERSEKUTUAN PENGAKAP NEGERI JOHOR KE PEJABAT PENDIDIKAN DAERAH MERSING BUKA LALUAN KERJASAMA STRATEGIK

KUNJUNG HORMAT PERSEKUTUAN PENGAKAP NEGERI JOHOR KE PEJABAT PENDIDIKAN DAERAH MERSING BUKA LALUAN KERJASAMA STRATEGIK



MERSING, 17 Jun 2025 – Pegawai Pendidikan Daerah Mersing, Tuan Haji Saiful bin Atan, hari ini menerima kunjungan hormat daripada rombongan pentadbiran tertinggi Persekutuan Pengakap Negeri Johor dalam usaha memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua pihak.
Delegasi yang diketuai oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Johor, Mejar A.W. Haji Mohd Khir bin Muda, hadir bagi membincangkan peluang kerjasama dalam menjayakan program-program kepengakapan yang menyasarkan penyertaan murid sekolah di seluruh daerah.
Dalam pertemuan tersebut, pihak Persekutuan Pengakap Negeri Johor memaklumkan bahawa Program Perhimpunan Agung Pengakap Johor (PAPJ) yang bakal berlangsung pada September 2025 telah menerima kelulusan rasmi daripada Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan Malaysia. Kelulusan ini membolehkan penyertaan murid dalam program berprestij tersebut direkodkan sebagai penyertaan peringkat antarabangsa dalam sistem pemarkahan PAJSK (Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum).
Perbincangan dua hala ini membuka peluang luas bagi kedua-dua pihak meneroka pelbagai bentuk kerjasama dan inisiatif bersama, khususnya dalam memperkasa peranan gerakan pengakap sebagai platform pembangunan sahsiah, kepimpinan dan daya tahan murid. Kerjasama ini dijangka memberi impak yang positif dan berkekalan bukan sahaja kepada institusi terlibat, malah turut memanfaatkan ahli-ahli pengakap di peringkat daerah dan negeri.
Dalam sesi tersebut, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Johor turut berkongsi hala tuju baharu gerakan pengakap negeri, termasuk cadangan untuk menganjurkan program berskala besar melibatkan pelbagai pihak – sama ada berbentuk kepengakapan mahupun program luar yang menyokong pembangunan generasi muda secara menyeluruh.
Persekutuan Pengakap Negeri Johor merakamkan penghargaan atas sokongan dan keterbukaan Pejabat Pendidikan Daerah Mersing dalam menggalakkan penglibatan aktif murid serta berharap kerjasama strategik ini dapat diteruskan dan diperluas pada masa akan datang.


KUNJUNG HORMAAT PERSEKUTUAN PENGAKAP NEGERI JOHOR KE PEJABAT PENDIDIKAN DAERAH MERSING BUKA LALUAN KERJASAMA STRATEGIK

No comments:

Post a Comment