KUNJUNG HORMAT PENGAKAP NEGERI JOHOR KE MAJLIS DAERAH MERSING FOKUS ISU LOGISTIK PAPJ 2025 - PENGAKAP JOHOR

BERITA SEMASA

Jun 21, 2025

KUNJUNG HORMAT PENGAKAP NEGERI JOHOR KE MAJLIS DAERAH MERSING FOKUS ISU LOGISTIK PAPJ 2025

KUNJUNG HORMAT PENGAKAP NEGERI JOHOR KE MAJLIS DAERAH MERSING FOKUS ISU LOGISTIK PAPJ 2025


MERSING, 17 Jun 2025 – Rombongan pentadbiran tertinggi Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Johor telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Majlis Daerah Mersing. Ia merupakan lokasi keempat dan terakhir dalam siri lawatan rasmi sempena persiapan Perhimpunan Agung Pengakap Johor (PAPJ) 2025.

Delegasi Pengakap Johor yang diketuai oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Johor, Mejar A.W. Haji Mohd Khir bin Muda, telah disambut oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Mersing, Encik Mohd Norman bin Noh. Pertemuan tersebut menumpukan kepada perbincangan berkenaan aspek logistik dan keperluan prasarana awam menjelang pelaksanaan PAPJ ke-27 yang bakal berlangsung pada September 2025 nanti.

Antara isu yang dibincangkan termasuklah penyediaan kemudahan asas seperti tandas awam, pembekalan sumber tenaga, keselamatan kawasan perkhemahan, keselamatan air, serta pengurusan pokok-pokok bersaiz besar yang terdapat di tapak perkhemahan ketika ini.

Pengakap Johor menyuarakan harapan agar kerjasama padu daripada pihak Majlis Daerah Mersing dapat direalisasikan demi memastikan kelancaran dan keselamatan PAPJ 27, yang dijangka melibatkan penyertaan ramai ahli pengakap dari seluruh negeri, negara dan juga peserta antarabangsa.

Dalam sesi tersebut, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Johor turut berkongsi hala tuju baharu Pengakap Johor, serta menyeru agar lebih banyak penganjuran aktiviti berskala besar diadakan, termasuklah program-program luar yang memberi nilai tambah kepada pembangunan belia walaupun tidak secara langsung berkaitan dengan aktiviti kepengakapan.

Beliau turut menyatakan hasrat untuk memperkukuh hubungan diplomasi antara agensi-agensi kerajaan yang lain agar usaha pembangunan sahsiah dan kepimpinan dalam kalangan ahli pengakap dapat terus diperkasa melalui pelaksanaan program-program berkualiti di pelbagai peringkat – dari daerah ke negeri, mahupun ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Persekutuan Pengakap Negeri Johor merakamkan penghargaan atas keterbukaan Majlis Daerah Mersing dalam mendukung pelaksanaan PAPJ 2025 dan berharap agar kerjasama ini dapat diperluas dalam usaha memperkukuh peranan pergerakan pengakap dalam pembangunan modal insan negara.

No comments:

Ahli Majlis Pesuruhjaya Pengakap Negeri Johor 2022-2024