Dato’ Syed Esa bin Alwee - PENGAKAP JOHOR

BERITA SEMASA

Jul 20, 2018

Dato’ Syed Esa bin Alwee


Dato' Syed Esa bin Alwee Al-Syahab (lahir 23 Oktober 1901) telah dilantik sebagai Timbalan dan kemudian Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang kedua, selama 6 bulan 6 hari, antara 18 Mei 1964 hingga 24 November 1964. Dalam Pilihan raya umum Malaysia 1959, beliau menang di Parlimen Batu Pahat Dalam, Johor atas tiket parti Perikatan/UMNO.

Beliau belajar di English College, kerajaan Johor dan mengajar di Sekolah English Bukit Zahara pada 1926. Beliau pernah menjadi pengetua Maktab Latihan Guru-Guru Johor di Jalan Air Molek, Johor Bahru. Setelah maktab itu ditutup pada 1928, Dato’ Syed Esa bin Alwee menjadi Penolong Nazir dan Nazir Pelajaran. 

Ketika menjadi Nazir Sekolah-sekolah Melayu Daerah Batu Pahat, beliau adalah Naib Presiden Persatuan Melayu Semenanjung Johor (PMSJ) dan 15,000 orang turut sama mengadakan tunjuk perasaan menentang Malayan Union pada 12 Februari 1946. Dato’ Onn Jaafar menjadi Presiden persatuan ini dan berjaya menyatukan orang Melayu menghadapi keganasan Bintang Tiga/Parti Komunis Malaya. Perbincangan penubuhan PMSJ ini telah diadakan di rumah Syed Ahmad bin Syed Alwee.

Dato‘ Syed Esa bin Syed Alwee telah menerima anugerah DPMJ, PLP, JMN, PIS, JP.


Beliau aktif dalam pergerakan Pengakap. Beliau merupakan pemimpin pengakap yang terawal bersama-sama Scout Master (SM) Abd Rahman bin Jaafar, Assistant Scout Master Abd Hamid bin Omar dan Assistant Scout Master Said bin Mohd Tahir. Pada tahun 1928, tertubuhnya pula kumpulan Pengakap kedua bagi pelajar Melayu di Malay Training College Johor Bahru dan pada masa inilah bermulanya Pergerakan Pengakap Negeri Johor.


Beliau menjadi Ketua Pesuruhjaya Pengakap Johor (1946) dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara (Malaysia) ke-3 dari 1963 hingga 968. Beliau menjadi tokoh Pengakap Johor yang berjasa.


Beliau penggerak utama pembukaan Kem Pengakap Jubli Intan, Tanjung Labuh, Batu Pahat, Johor bersama-sama Cikgu Baba bin Othman, Dato’ Bidin Login, Cikgu Shuib Ismail, Cikgu Mohd Diah Abd Rahman dan beberapa orang pemimpin pengakap. Kem ini dibuka dengan rasminya pada tahun 1954. Tanah tapak kem ini adalah kurniaan dari DYMM Sultan Johor ketika itu, DYMM Sultan Sir Ibrahim Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar.

Sebuah bangunan utama di Kem Pengakap Jubli Intan ini telah dinamakan Dewan Dato'Syed Esa sempena nama beliau. Dewan ini dibuka pada tahun 1954. Ia telah dirasmikan oleh Tengku Mahkota Johor, Tengku Ismail Ibni Sultan Ibrahim pada 23 Mac 1956.

Pada 15 Ogos 2008 bersamaan 13 Sya‘ban 1429H, bersempena salah satu jalan yang menuju ke SMK Jalan Kolam Air mengguna kan nama Jalan Dato’ Syed Esa dan rumah agam Dato’ Syed Esa terletak berhampiran dengan sekolah ini serta jasa beliau yang merupakan tokoh ulung Batu Pahat telah terpahat dalam sejarah Johor, pengetua SMK Jalan Kolam Air ketika itu, Tuan Haji Fauzan bin Sukimi telah memohon kepada Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menukar nama sekolah kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Syed Esa.


Pertukaran nama ini telah dirasmikan oleh Penolong Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran Malaysia, Dr. Haili bin Dolhan dalam satu majlis gilang-gemilang. Majlis tersebut dihadiri oleh
pegawai-pegawai daripada Kementerian, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, bekas pengetua-pengetua sekolah ini dan sekolah lain, ahli-ahli keluarga allahyarham Dato' Syed Esa
serta warga SMKDSE sendiri.

Tulisan semula oleh Rosmah Abdullah, Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Johor unit ICT. 

No comments:

Ahli Majlis Pesuruhjaya Pengakap Negeri Johor 2022-2024